SEBANYAK dua projek estet padi mini di Beluran dan Pitas sedang dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi di Sabah.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin berkata, projek tersebut membantu pesawah terlibat melaksanakan penanaman padi secara tersusun di kawasan seluar 150 hektar.
Katanya, kedua-dua projek berkenaan menggunakan peruntukann bagi 2021 dan 2022.
“Kedua-duanya masih dilaksanakan dan kita memantaunya. Mudah-mudahan dengan peruntukan ini akan berlaku peningkatan hasil padi dan pendapatan petani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Amir berkata, pihaknya turut terlibat dalam penyediaan kemudahan jentera dan mekanisasi bagi membantu pesawah dari segi penggunaan jentera untuk penghasilan pada skala besar.
“LPP Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di Sabah.
“Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita memang fokus untuk mekanisasi dan automasi untuk membantu peladang dari segi kemudahan jentera,” katanya.
Menurut Amir, LPP masih berdepan dengan masalah saliran di Sabah namun menerusi kedua-dua projek tersebut, pihaknya akan cuba meningkatkan hasil padi di negeri berkenaan. – Edisi 9