32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bicara kes Sanusi bermula 18 Januari tahun depan

Mesti Baca

MAHKAMAH Sesyen Selayang hari ini menetapkan 12 hari bermula 18 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah itu menghadapi dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, pada Julai lepas.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin menetapkan 18 dan 19 Januari serta 10 hari pada Februari untuk perbicaraan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kes itu melibatkan kepentingan awam.

“Saya mohon kes ini dibicarakan dalam masa terdekat pada Disember tahun ini dan lebih kurang 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan,”kata Masri.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Muhammad Sanusi berkata pihaknya mengakui kes anak guamnya adalah kes berprofil tinggi, namun pembelaan memohon agar kes tersebut dibicarakan bermula Januari tahun depan.

Terdahulu, Masri memberitahu mahkamah bahawa terdapat pindaan berhubung dua pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi dan memohon supaya pertuduhan itu dibacakan dan dibicarakan bersama kerana ia membabitkan kejadian dan saksi sama.

Pindaan itu membabitkan perubahan pada seksyen pertuduhan kerana sebelum ini, Muhammad Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 namun dipinda kepada Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Sementara itu, sebaik pertuduhan pindaan dibacakan kepadanya, Muhammad Sanusi yang bersut biru berkata, “Faham pertuduhan Yang Arif, mengaku tidak bersalah”.

Advertisements

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh, hakim itu membenarkan permohonan pendakwaan agar kes di mahkamahnya dipindahkan di hadapan hakim Nor Rajiah untuk dibicarakan bersama.

Ini selepas Masri memaklumkan kepada hakim Osman Affendi bahawa ungkapan yang didakwa dibuat tertuduh dalam ucapan melibatkan saksi sama.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon agar kes di mahkamah ini dapat dipindahkan di Mahkamah Sesyen 2 (hakim Nor Rajiah) untuk dibicarakan bersama mengikut Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah,”kata Masri.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen antaranya transkrip rakaman ucapan kepada pembelaan hari ini.

Awang Armadajaya berkata, pihaknya tidak membantah permohonan untuk memindahkan kes.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar manakala Awang Armadajaya turut dibantu peguam Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Tajuddin Abd Razak dan Datuk Fariz Imran Mustafa.- BERNAMA

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan