25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Lelaki kekal di penjara selama perkenan Agong

Bunuh 23 penghuni tahfiz

Mesti Baca

MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan seorang lelaki kekal di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, atas sabitan kesalahan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Lelaki yang berusia 16 tahun ketika kejadian itu, tidak berdepan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun.

Pada 11 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berhujah kebakaran itu pasti berpunca lebih daripada seorang pelaku kerana adalah mustahil untuk seorang remaja mengangkat dua tong gas seberat 28 kilogram sekali gus.

Beliau berkata, sebuah tong gas terbabit diletakkan secara menegak dan sebuah lagi melintang sebelum petrol disimbah serta pemetik api dinyalakan di depan pintu.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili lelaki terbabit pula dilaporkan berhujah bahawa tiada saksi memberi keterangan bahawa remaja itu membakar sekolah berkenaan, sambil menambah pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan untuk menyokong kes mereka.

Pada 17 Ogos 2020, lelaki berusia 22 tahun itu disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh sebelum diperintahkan supaya ditahan di penjara selama tempoh diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Advertisements

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat berkenaan yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi 14 September 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Sementara itu, mahkamah sama hari ini turut sebulat suara memutuskan seorang lagi lelaki yang berdepan pertuduhan membunuh 23 penghuni tahfiz dalam kejadian kebakaran terbabit, kekal dilepas dan dibebaskan.

Tertuduh yang juga berusia 16 tahun ketika kejadian, tidak berdepan hukuman mati kerana berada di bawah umur 18 tahun pada masa itu. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan