PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agar kerjasama dipertingkatkan dalam integrasi ekonomi, ekonomi digital dan perubahan iklim dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Ketiga bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, hari ini.
Anwar turut menyeru agar rakan dialog meluluk peluang memperkukuh multilateralisme dan memperjuangkan budaya keamanan, kestabilan dan kemakmuran, berteraskan diplomasi dan kerjasama melalui pelbagai platform antarabangsa.
“Hatta ini dapat menyuburkan sumber motivasi dalam meningkatkan hubungan dam kerjasama antara pihak terkait.
“Pada kesempatan yang sama, saya turut mengalu-alukan sambutan ulang tahun hubungan dialog ASEAN-Australia ke-50 pada 2024 yang akan dimasyhurkan dengan penganjuran Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pada 4-6 Mac 2024 di Melbourne, Australia,”katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini.

Sementara itu berucap dalam platform yang sama, Perdana Menteri turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengelakkan kegalauan, diskriminasi dalam menangani konflik dan penderitaan manusia di Palestin.
“Gesaan ini disinggung sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta.
“Dalam ucapan, saya turut meminta rakan dialog supaya menggunakan wewenang sebaiknya agar sebarang bentuk perkauman, Islamofobia dan Xenophobia tidak boleh diterima dan harus dikecam sekeras-kerasnya.
“Mesyuarat tersebut juga membincangkan keperluan bagi Negara-negara Peserta EAS (EPCs) untuk mengukuhkan komitmen mereka terhadap prinsip-prinsip asas EAS,”katanya.
Pada masa sama, katanya, mengenai Laut China Selatan, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982. – Edisi 9