MALAYSIA menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN dalam usaha untuk mencari penyelesaian ke atas krisis di Myanmar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen berkenaan ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, H. E Antonio Guterres semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, Indonesia.
Menurut beliau, perbincangan kedua-dua pihak terarah kepada isu-isu berkepentingan bersama termasuk kerjasama ASEAN-PBB, isu-isu berkenaan Palestin dan Myanmar.
“Saya juga mengulangi komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan PBB dan ASEAN terutamanya dalam usaha untuk mencari penyelesaian ke atas krisis di Myanmar, amnya.
“Sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB pula, saya mengulangi kekecewaan tehadap kurangnya kemajuan bermakna dalam pelaksanaan 5PC.
“Malah saya turut menyuarakan kebimbangan bahawa krisis di Myanmar telah membuka peluang kepada sindiket-sindiket jenayah untuk mempergiatkan aktiviti mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar berkata, pada platform yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan.
“Sayugia, peranan PBB sangat penting dalam isu-isu yang ada di ASEAN bagi memastikan keharmonian di benua ini terus terpelihara,”ujar beliau. -Edisi 9