“SAYA serahkan kepada pegawai penyiasat saya untuk menyiasat perkara tersebut,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status terkini pertuduhan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan penyiasatnya bagi menyiasat bukti baharu kes rasuah Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti sejauh mana perkembangan siasatan tersebut,” katanya ketika hadir merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan hari ini.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan permohonan pihak pendakwaan untuk DNAA Ahmad Zahid dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima oleh mahkamah. – Edisi 9