26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

KPKT peruntuk RM6.03 juta program Sentuhan Kasih di Pahang

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM6.03 juta menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT di Pahang.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, RM4.74 juta adalah untuk pelaksanaan pelbagai projek berkaitan kesejahteraan, kesihatan dan keselesaan penduduk di Bentong, termasuk mengatasi masalah banjir.

Katanya, baki RM1.29 juta pula diperuntukkan kepada Majlis Daerah Bera untuk kerja menaik taraf pasar Triang dan kawasan sekitarnya.

“Peruntukkan disalurkan itu adalah bajet berdasarkan prestasi bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan penduduk dapat terus dipertingkatkan.

“Semua projek ini akan dimulakan segera dengan tender sudah dikeluarkan dan sasaran siap projek berkenaan ialah pada 31 Disember tahun ini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Kor Ming berkata, bagi pelaksanaan projek di Bentong, peruntukan terbesar disalurkan untuk kerja membaik pulih Pasar Besar Bentong iaitu RM1 juta, manakala masing-masing RM500,000 untuk menaikt taraf Medan Selera Kampung Baru dan Pasar Awam Chemomoi, di sini.

Beliau berkata, kerja menaik taraf itu antara lain, membabitkan kerja membaiki siling, menaik taraf longkang, menurap jalan dan memasang perangkap sampah di medan selera yang mempunyai 26 gerai supaya sampah tidak mengalir ke sungai.

Advertisements

Katanya, RM400,000 diberikan bagi kerja menaik taraf dan pembaikan longkang di Taman Saga serta kerja berkaitan di perumahan dengan 896 unit kediaman yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk.

“Peruntukan RM2.34 juta pula diberikan untuk melaksanakan 16 projek di 11 kampung baharu yang akan dilaksanakan segera untuk menjamin keselamatan penduduk seperti kerja membaik pulih, menurap semula dan melebarkan jalan, menaik taraf tebing sungai dan sistem perparitan bagi mengelak banjir,” katanya.

Beliau berkata, kampung terbabit ialah Kampung Bukit Tinggi, Kampung Chamang, Kampung Karak, Kampung Kemasur, Kampung Manchis, Kampung Sri Telemong, Kampung Sungai Dua, Kampung Sungai Penjuring, Kampung Sungai Perdak, Kampung Telemong dan Kampung Ulu Perting.

Sementara itu, mengulas mengenai program Sentuhan Kasih, Kor Ming berkata, ia membabitkan penyerahan tiga Rumah Mesra Rakyat di Kampung Chemomoi, yang dibina di tanah pemilik dengan keluasan 750 kaki persegi pada kos RM75,000 setiap satu dan subsidi RM20,000 diberikan kerajaan.

Beliau berkata, perancangan projek itu sudah lama dibuat sebagai sebahagian daripada program Sentuhan Kasih KPKT, yang setakat ini membabitkan lebih 500 projek dengan peruntukkan lebih RM700 juta di pelbagai negeri.

Mengulas mengenai potensi Bentong yang sebelum ini pernah diuar-uarkan berupaya menjadi bandar raya kedua di Pahang, Kor Ming berkata, masih terdapat kriteria perlu dipenuhi sebelum boleh mencapai status bandar raya.

Sebagai contoh, katanya, kriteria penduduk bagi majlis bandaraya melebihi 500,000 orang, namun buat masa ini, jumlah penduduk Bentong hanya 120,000 orang walaupun kriteria lain seperti mempunyai sumber kewangan mampan dan hasil tahunan tidak kurang RM100 juta boleh dipenuhi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan