KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memberi kebenaran untuk menggunakan pelekat harga baharu runcit pada kampit beras putih import (BPI).
Kementerian itu dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, kebenaran itu hanya bersifat sementara iaitu sehingga 30 November ini.
Menurut KPKM, keputusan itu dicapai dalam sesi libat urus bersama pemain industri beras pada 13 September susulan pelarasan harga BPI oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada 1 September lalu.
Katanya, perkara itu diputuskan secara bersama dengan mengambil kira tempoh masa dan kos yang diperlukan oleh pihak pemborong beras untuk menggantikan kampit beras lama kepada kampit beras baharu.
“KPKM telah memberikan kebenaran sementara penggunaan pelekat untuk perubahan harga baharu pada kampit BPI yang dipamerkan untuk jualan.
“Kebenaran sementara ini hanya diberikan sehingga 30 November 2023.
“Selepas tamat tempoh tersebut, pemborong hendaklah mengampitkan BPI di dalam kampit beras baharu yang mencatatkan perubahan harga yang terkini untuk dipasarkan ke peringkat peruncit,” kata kenyataan KPKM hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas isu penggunaan pelekat harga baharu pada kampit BPI sepertimana tular dalam media sosial.
KPKM berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras termasuk pihak pasar raya melalui surat edaran Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras bertarikh 13 September 2023.
Katanya, surat itu juga telah disalinkan kepada Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KPKM juga mengingatkan semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras untuk mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya,” katanya. – Edisi 9