24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 16, 2024

KKDW sasar kebolehpasaran graduan TVET sehingga 95 peratus

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi yang terlibat sasar meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke 95 peratus menjelang tahun 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu boleh dicapai dengan mengadakan kerjasama rapat dengan pihak industri sebagai salah satu bentuk ‘game changer’ yang baru ke arah mencapai hasil yang optimum. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, pada tahun 2022 sahaja Institusi Pendidikan TVET@KKDW telah membuat pengambilan sejumlah 36,696 orang pelajar atau pelatih, dengan enrolmen keseluruhan berjumlah 59,126 orang.

“Manakala graduan keseluruhan bagi tahun 2022 mencapai bilangan 27,580 orang graduan.

“Saya tahu, masih ada yang risau tentang peluang atau jaminan pekerjaan sekiranya menceburi bidang TVET ini.

“Alhamdulillah, kebolehpasaran graduan bagi Institusi TVET di bawah KKDW adalah antara tertinggi iaitu purata 91.42 peratus graduan berjaya melanjutkan pengajian, menjadi usahawan atau bekerja dengan majikan dalam tempoh enam bulan selepas graduasi.

“Ini satu pencapaian yang sewajarnya dapat menarik minat kepada pengunjung khususnya para belia untuk menceburi bidang TVET,”katanya pada Majlis Perasmian Program Sentuhan Kasih Desa @Simpang Pelangai: Mini Karnival Usahawan Desa dan Ekspo TVET di Dataran Simpang Pelangai, Bentong, Pahang.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Advertisements

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Dewa dan Wilayah berkata, setakat ini, di bawah KKDW sahaja terdapat sebanyak 280 Institusi TVET, daripada jumlah tersebut, sebanyak 271 Institusi adalah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk 232 buah GIAT MARA dan 9 Institut TVET adalah seliaan lain-lain agensi di bawah KKDW.

“Menerusi 280 institusi TVET berkenaan, KKDW telah menawarkan sebanyak 529 buah program atau kursus TVET, meliputi 215 buah program peringkat Sijil, 196 buah program peringkat Diploma, 78 buah program peringkat Sarjana Muda, 27 buah program peringkat Sarjana, dan 13 buah program peringkat Ijazah Kedoktoran.

“Saya akui, tidak semua orang ada kemampuan kewangan untuk tanggung kos menyambung pengajian.

“Sebab itu saya menggesa agar golongan ini mempertimbangkan pendidikan TVET kerana dari segi kemudahan yuran pengajian, untuk program diploma dan sijil di institusi seperti KKTM, MJII, IKM, PERDA-TECH, KEMAS, GIATMARA, dan Kolej KEDA, kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh institusi ini.

“Apa yang lebih menarik, program ini juga dapat membantu para belia untuk memilih laluan kerjaya melalui pendidikan latihan dan kemahiran atau TVET.

“Di sini anda boleh memilih institusi TVET seliaan agensi yang bernaung di bawah KKDW beserta kursus yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan masing-masing.

“Usaha ini bukan sahaja mampu melahirkan para pekerja warga tempatan yang berkemahiran tinggi, tetapi turut membantu dalam mengurangkan jumlah keciciran golongan belia daripada arus pendidikan yang sewajarnya,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kanak-kanak rumah amal GISBH akan dikembalikan kepada ibu bapa

KANAK-KANAK rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) akan dikembalikan kepada ibu bapa, penjaga...

Lagi Artikel Berkaitan