26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Institusi akademik Malaysia, Indonesia digalak jalin hubungan baik

Mesti Baca

MENTERI Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa institusi akademik Malaysia dan Indonesia membina hubungan baik serta menghormati kedua-dua negara sepertimana terkandung dalam Piagam ASEAN.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru sektor swasta untuk bekerjasama dan membangunkan perkongsian strategik dengan institusi akademik berkenaan.

Menurut beliau, hal itu boleh dilaksanakan melalui aktiviti yang dibiayai kedua-dua pihak melalui penyelidikan kolaboratif dan selanjutnya boleh memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua negara berjiran itu sudah lama wujud dan dalam pelbagai bentuk termasuk kerjasama strategik dari segi akademik, ekonomi dan budaya.

“Menariknya, kerjasama ini bukan sahaja membantu meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara, malah mewujudkan lebih banyak ruang dan peluang untuk Malaysia dan Indonesia bergerak maju ke hadapan di peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi Facebook beliau malam tadi.

Sebelum itu, Zambry dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi telah merasmikan program kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Prasetiya Mulya (PRAMUL) di Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) di Jakarta.

Advertisements

Di bawah program tersebut, UKM menerusi Institusi Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) telah mewujudkan Pusat Kajian Ikatan Malaysia-Indonesia (IKMI) manakala PRAMUL pula menubuhkan Program Pengajian Indonesia-Malaysia (IMSP).

Beliau berkata, penubuhan IKMI dan IMSP itu bagi membina rangkaian kolaboratif antara kerajaan kedua-dua negara.

Katanya, kerjasama antara UKM dan PRAMUL itu adalah hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada Januari lalu dan lawatan Presiden Joko Widodo ke Malaysia pada Jun.

“Semasa lawatan ke Jakarta, Perdana Menteri menyeru Indonesia dan Malaysia untuk terus bekerjasama dalam isu serantau bagi menjamin kepentingan politik dan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.

Kedua-dua menteri turut mengulangi bahawa Indonesia dan Malaysia perlu membangun, mengekalkan dan terus memupuk hubungan baik antara kedua-dua negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan