PADA hari pertama Persidangan Khas hari ini, Dewan Rakyat turut diambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Pulai dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ucapan takziah itu disampaikan Speaker Tan Sri Johari Abdul pada pagi tadi.
“Pada kesempatan ini, juga saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 23 Julai 2023.
“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham serta arwah ditempatkan dalam kalangan orang soleh lagi beriman.
“Kepada yang beragama Islam, diminta sedekahkan Al-Fatihah kepada Salahuddin dan kepada bukan Islam, diminta bertafakur.
“Al-Fatihah…” katanya sebelum meneruskan aturan mesyuarat yang ditetapkan pada hari ini memetik laporan Astro AWANI.
Johari berkata demikian sebelum pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salahuddin, 61 tahun, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.