YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, baginda berdua turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat kedua-dua negeri atas sambutan sangat hebat sepanjang program Kembara Kenali Borneo.

Katanya, Seri Paduka berdua terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.
“Segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan lanskap semulajadi di kedua-dua negeri terpahat di hati baginda sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program itu memberi peluang baginda berdua mengeratkan silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan juga merealisasi semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kembara Kenali Borneo melabuhkan tirainya di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam selepas bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu.
Seri Paduka berdua dalam pada itu, turut mendoakan rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi Allah dan kedua-dua negeri kekal makmur, maju jaya dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.
“Baginda bertitah, ini adalah kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup secara rukun dan damai,” jelasnya. – Edisi 9