27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Polis rampas syabu bernilai lebih setengah juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SATU sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita warga Thailand berjaya ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan sekitar ibu negara, Jumaat lalu dan merampas syabu dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata, pada serbuan pertama yang bermula jam 7 malam itu, polis menahan tiga suspek di tepi jalan Taman Permata, Cheras.

“Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua warga Thailand termasuk seorang wanita berusia antara 23 hingga 30 tahun.

“Lanjutan daripada serbuan pertama, polis telah menjalankan serbuan kedua di tempat letak kereta di Solaris Dutamas.

“Hasil serbuan tersebut, polis menemui 15 bungkus dadah jenis syabu yang disimpan dalam sebuah kereta Nissan Sentra.

“Dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 15 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM520,000 dan mampu menampung penggunaan seramai 30,000 pengguna dadah.

“Hasil soal siasat ke atas tiga suspek, membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 30 tahun di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Allaudeen, siasatan mendapati sindiket ini aktif mengedar syabu sekitar ibu kota sejak dua bulan lalu dan modus operandinya dengan menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli.

Advertisements

“Turut ditangkap adalah perancang utama bagi sindiket ini iaitu seorang perempuan warga Thailand berumur 30 tahun.

“Siasatan juga mendapati, lelaki dan wanita warga Thailand yang terdahulu ditahan adalah pasangan suami isteri dan bekerja di sebuah kedai tom yam manakala lelaki tempatan pula bekerja di sebuah ladang kuda di Selangor,” katanya.

Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tiada rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin, ketamin dan ganja.

Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur kini masih menjalankan siasatan untuk mengesan punca bekalan dadah itu diperolehi.

Katanya, selain rampasan dadah bernilai RM520,000, polis turut merampas sebuah kereta Nissan Sentra dianggarkan bernilai RM20,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM540,000.

“Keempat-empat suspek direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Dalam pada itu, Allaudeen memohon warga kota terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang selamat.

“Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),”ujar beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan