PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak timbul soal Kerajaan Perpaduan menganaktirikan atau mengabaikan negeri Kedah.
Sebaliknya, kata beliau, Kerajaan Perpaduan serius membantu negeri Kedah.
“Saya tegaskan bahawa tidak pernah timbul soal Kerajaan Perpaduan menganaktiri atau mengabaikan negeri Kedah sebaliknya kami serius membantu negeri ini.
“Ia terbukti apabila kita membawa masuk pelaburan menerusi syarikat Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim.
“Selain pelaburan, Kerajaan Perpaduan pimpinan saya turut menyalurkan bantuan dengan adil dan saksama kepada semua negeri di bawah pembangkang.
“Justeru, naratif jelek pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan ini berlaku zalim dan menafikan hak rakyat adalah tidak benar sama sekali,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Kupang, Baling bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dalam siri Jelajah Perpaduan MADANI Kedah.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ceramah tersebut adalah program terakhir dalam lawatannya ke negeri Kedah, semalam setelah menghadiri Karnival Segalanya Felda di Sik diikuti Taaruf Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan Jelajah Perpaduan Madani Kedah di Alor Setar.
Katanya lagi, Kerajaan Perpaduan telah buktikan di peringkat Persekutuan bahawa kita punyai tekad jelas untuk membangunkan ekonomi rakyat.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengajak rakyat di negeri Kedah untuk beri mandat kepada gabungan perpaduan PH-BN di negeri ini,”katanya.
Kelmarin, Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan rancangan syarikat untuk membina kilang di Kulim bagi mengeluarkan 200mm Power Fab SiC (silicon carbide) terbesar di dunia.
Perdana Menteri berkata, Infineon akan membuat pelaburan tambahan sebanyak €5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi fasa kedua pembinaan modul 3. – Edisi 9