PELAKSANAAN Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dijangka mampu melonjakkan nilai tambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada RM220 bilion pada tahun 2050 berbanding RM25 bilion tahun ini.
Itu merupakan antara tiga dampak positif yang dijangka terhasil menerusi pelaksanaan NETR kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NETR juga diharap dapat mencipta 310,000 peluang pekerjaan secara langsung menjelang tahun 2050.
Selain itu, katanya, pelan berkenaan turut mampu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) oleh sektor tenaga sebanyak 32 peratus.
Menurut Anwar, peralihan tenaga adalah salah satu inisiatif penstrukturan semula ekonomi negara di bawah gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
“Menerusi NETR, kerajaan bertekad tegas dalam soal kebijakan bahawa Malaysia perlu dilonjakkan sebagai sebuah tatanan yang di depan menerajui sektor peralihan tenaga di kalangan anggota ASEAN, selain memberi isyarat jelas dalam soal halatuju ekonomi negara.
“Saya lontarkan kepada hadirin bahawa pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan keseluruhan negara yang pastikan melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, industri, masyarakat awam dan masyarakat antarabangsa,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri telah menyampaikan ucaptama dan melancarkan NETR semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2023.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pembangunan kerangka NETR didasari empat prinsip utama iaitu aspirasi dan komitmen negara mengenai perubahan iklim serta pembangunan sosio ekonomi; aspek keadilan, keterangkuman dan kecekapan kos; tatakelola yang berkesan dan pendekatan keseluruhan negara; dan berdampak tinggi.
“Di samping itu, turut dapat menyediakan peluang pekerjaan serta keterlibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem rantaian nilai sektor tenaga.
Kata beliau, NETR menggariskan enam pemacu peralihan tenaga iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Selain itu, lima pemboleh daya silang telah dikenal pasti iaitu pembiayaan dan pelaburan, kebijakan dan peraturan, modal insan, infrastruktur dan teknologi serta persoalan tatakelola.
“Bagi menjelmakan hasrat murni yang amat ‘ambitious’ ini, NETR telah menggariskan 50 inisiatif utama dan 10 projek flagship yang akan memastikan peralihan tenaga dapat memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi negara,”katanya.
Jelasnya, bagi mencapai sasaran NETR tersebut, kerajaan menganggarkan keperluan pelaburan sekurang-kurangnya RM1.2 trilion sehingga tahun 2050.
“Kerajaan juga menyediakan Dana Peralihan Tenaga Negara (NETF) dengan dana pemula sebanyak RM2 bilion bagi mendukung pelaksanaan projek peralihan tenaga.
“NETF akan memangkin pembiayaan campuran (blended financing) dari sektor swasta dan pembiayaan antarabangsa bagi meningkatkan akses pembiayaan untuk projek peralihan tenaga yang penting tetapi belum mencapai tahap komersial yang boleh diterima bank (bankable).
“Kejayaan NETR adalah kritikal bagi mengukuhkan ekonomi dan sektor tenaga negara supaya kalis tantangan masa hadapan,”katanya.
Dalam hubungan ini, katanya, beliau akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara (MTN) yang bertanggungjawab memastikan perancangan sektor tenaga secara menyeluruh di samping turut memantau pelaksanaan NETR. – Edisi 9