30.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

New York haramkan TikTok pada peranti milik kerajaan

Mesti Baca

ATAS langkah keselamatan, New York mengharamkan TikTok pada peranti milik kerajaan.

Langkah sekatan itu sama seperti yang diambil oleh beberapa bandar dan negeri lain di Amerika Syarikat (AS).

TikTok, aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat AS, dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance.

Ia berdepan dengan peningkatan desakan daripada penggubal undang-undang seluruh AS supaya pentas media sosial itu diharamkan, atas alasan bimbang mengenai kemungkinan pengaruh pemerintah China.

TikTok ‘menimbulkan ancaman keselamatan kepada rangkaian teknikal bandar ini’, kata Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam satu kenyataan pada Selasa.

Agensi di New York dikehendaki mengeluarkan aplikasi itu dalam masa 30 hari ini bermakna pekerja tidak lagi mempunyai akses pada laman sesawang kesemua peranti dan rangkaian milik majlis perbandaran itu.

Negeri New York sudah pun mengharamkan TikTok pada peranti mudah alih di bawah kendaliannya.

TikTok sebelum ini berkata ia ‘tidak berkongsi dan tidak akan berkongsi data pengguna AS dengan pemerintah China dan mengambil langkah besar untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan pengguna TikTok’.

Pegawai keselamatan tertinggi AS termasuk Pengarah Biro Siasatan Persekutuan, (FBI), Christopher Wray, dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns, berkata TikTok menimbulkan ancaman.

Wray pernah berkata pada Mac bahawa pemerintah China boleh menggunakan TikTok untuk mengawal perisian berjuta-juta peranti dan memacu naratif untuk memecahbelahkan rakyat AS.

Advertisements

Mantan Presiden Donald Trump pada 2020 cuba menghalang muat turun kandungan baru TikTok tetapi beberapa siri keputusan mahkamah menghalang larangan itu daripada dikuatkuasakan.

Banyak negeri dan bandar AS mengehadkan TikTok pada peranti pemerintah.

Bandar Montana baru-baru ini meluluskan rang undang-undang (RUU) yang melarang aplikasi itu di seluruh negeri mulai 1 Januari tetapi sedang dicabar secara perundangan.

Hampir separuh daripada orang dewasa AS menyokong larangan TikTok, menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang dikeluarkan pada Rabu.

Jun lalu, sekumpulan enam senator dan dua anggota Dewan Perwakilan mengusulkan RUU bagi melindungi maklumat peribadi rakyat AS daripada digunakan oleh musuh-musuh negara itu.

RUU itu adalah yang terkini dalam beberapa usul bertujuan menangani kekhuatiran mengenai maklumat rakyat AS digunakan oleh aplikasi media sosial asing seperti TikTok.

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Senat, Ron Wyden, dari parti Demokrat, berkata RUU itu ‘akan menutup saluran maklumat daripada diakses oleh negara-negara musuh’.

Di samping itu, ia turut menyekat TikTok daripada mengirim maklumat peribadi rakyat AS kepada China dan ‘membolehkan negara-negara yang mempunyai perlindungan kerahsiaan yang kukuh bagi pererat hubungan mereka’.

Ramai penggubal dasar AS berkata, TikTok menimbulkan risiko keselamatan yang serius terhadap rakyat AS dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan China menyebarkan pengaruh melalui wadah yang digunakan lebih 150 juta rakyat AS itu. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan