31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Modul Penghayatan Hadis 40 pupuk kesederhanaan – ABIM

Mesti Baca

PELAKSANAAN modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di peringkat sekolah dapat memupuk kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisak Abdul Aziz berkata, pelaksanaan modul itu dianggap bertepatan dengan keperluan semasa dan masa depan negara.

Justeru, beliau mengingatkan semua semua pihak agar tidak menjadikan pelaksanaan modul tersebut sebagai satu polemik kerana ia diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.

“Bahkan hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih.

“Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Muhammad Faisal berkata, dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi tersebut secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.

Pada masa sama, beliau menegaskan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan tidak hanya bersifat ritual.

Sebaliknya, jelas beliau, tafsiran kepada perutukan Perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna muslim di Malaysia.

“Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman di Mahkamah Persekutuan,” kata beliau.

Advertisements

Sebagai contoh, beliau menjelaskan, dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dua yang lain pada 2007, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai:

“bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Justeru, kata beliau, ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita.

Sabtu lalu, KPM telah melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan