YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah amat menghargai sumbangan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun kepada negeri Pahang Darul Makmur, khususnya dalam memperjuangkan masyarakat desa dan luar bandar.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua amat berdukacita dan terkejut di atas pemergian Allahyarham yang merupakan seorang rakan yang akrab dengan Baginda dan keluarga Baginda.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negeri Pahang Darul Makmur dan juga kepada Seri Paduka Baginda berdua,”menurut Istana Negara.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong juga turut mengucapkan takziah kepada sembilan lagi mangsa lain yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina Central Park, Seksyen U16 di sini petang semalam.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham Johari Harun adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai di Parlimen Bentong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Darul Makmur.
Susulan nahas berlaku, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat melawat lokasi kejadian pesawat terhempas.
Seri Paduka Baginda berangkat tiba sekitar jam 5.40 petang sebelum berkenan mendengar persembahan taklimat daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengenai tragedi itu.
Usai persembahan taklimat, Seri Paduka Baginda turut berkenan bertemu keluarga masa.
Dalam insiden tersebut, 10 individu disahkan maut termasuk Datuk Seri Johari Harun. – Edisi 9

