32.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

9 PATI warga Myanmar ditahan, rampas 70 set bubu naga

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya menahan sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar ketika menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, semasa pemeriksaan dilakukan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah, didapati kesemua PATI hanya memiliki salinan surat dan kad United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan.

“Sehubungan dengan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Kata beliau, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Zon Maritim Kuala Kedah juga telah melaksanakan operasi pemantauan rutin penggunaan bubu naga dalam kalangan nelayan selama seminggu.

“Hasil operasi berkenaan, kita telah merampas 70 unit bubu naga atau bubu kambang di tiga lokasi berbeza.

“Operasi ini dilaksanakan berikutan terdapat beberapa aduan awam yang diterima oleh pihak Maritim Malaysia di sekitar Kuala Jerlun, Kuala Kangkung dan Sungai Limau, Yan dan menjadi sebahagian lokasi panas penggunaan bubu naga ini.

Advertisements

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa seperti pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu,”katanya.

Menurutnya, kesemua bubu naga kemudiannya terus dirampas dan dianggarkan bernilai lebih RM8, 000.

“Bahan kes kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Ujar beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Kita juga sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara,”katanya

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akibat tindakan bodoh, Harimau Malaya hilang pemain tonggak

AKIBAT tindakan bodoh oleh individu tertentu, skuad kebangsaan kehilangan pemain tonggak bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,...

Lagi Artikel Berkaitan