PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membuka peluang kepada semua ahlinya yang berminat menjadi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk tampil menghantar borang pencalonan.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, itu merupakan satu proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif yang diamalkan parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tambahnya lagi, dengan cara itu, PKR dapat meyakinkan bakat-bakat dalam parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui parti itu.
“Proses yang telus ini juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa PKR sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa.
“Saya menjemput mana-mana ahli PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan Majlis Pimpinan Pusat Parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan tanggal 12 Ogos ini sebagai tarikh PRN yang akan diadakan serentak di enam negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Rafizi berkata, bagi permohonan individu, mereka perlu mengisi borang secara dalam talian di pautan www.calonkeadilan.org.
Katanya, borang tersebut boleh diakses bermula hari ini sehingga pukul 5 petang pada 10 Julai ini.
“Individu yang memohon mestilah ahli PKR berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis, tidak memiliki rekod jenayah dan mesti mengistiharkan harta serta bersedia menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat PKR,” katanya.
Bagi permohonan organisasi pula kata Rafizi, kepimpinan PKR di semua peringkat boleh menamakan calon-calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.
“Penamaan calon-calon ini perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat yang ditandatangani semua ahli mesyuarat yang hadir. Minit mesyuarat ini perlu diserahkan kepada jawatankuasa calon selewat-lewatnya pukul 5 petang, 10 Julai,” katanya. – Edisi 9