Tuesday, July 21, 2026

Agihan kerusi BN, PH dimuktamad minggu depan – Zahid

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

PENGAGIHAN kerusi yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk sembilan kerusi yang bertindih sebelum ini selesai, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH, akan berbincang buat kali terakhir minggu depan bagi memuktamadkan kerusi-kerusi tersebut.

“Sebelum ini sembilan kawasan bertindih tetapi sudah dapat diselesaikan dan selepas kita akan selesaikan pul tentang calon-calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH,” kata beliau.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bercakap kepada pemberita ketika menghadiri majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Kemaman di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan juga Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Zahid menjelaskan, pengagihan kerusi antara BN dan PH ialah 45:55 iaitu 45 peratus adalah calon BN dan 55 peratus lagi adalah daripada calon-calon parti gabungan PH.

Katanya, kerusi yang akan ditandingi lebih sedikit berbanding PH kerana mengambil kira jumlah yang disandang oleh wakil parti itu sebelum ini.

“Melebihi daripada 100 di peringkat nasional tetapi jumlah sebenar akan diketahui selepas memuktamadkannya bersama Perdana Menteri (Anwar),” katanya.

Mengenai calon-calon yang akan diketengahkan, Zahid berkata, pihaknya akan menampilkan calon muka baharu dan daripada kalangan anak muda seperti mana dilakukan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini.

Beliau berkata, langkah meletakkan muka-muka baharu dan anak muda membolehkan BN memperoleh kemenangan lebih tiga perempat di Melaka dan dua pertiga di Johor.

Katanya, Biro Politik telah memutuskan agar Perhubungan UMNO negeri mengemukakan tiga calon bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

“Pengundi baharu yang berusia 40 ke bawah terutamanya mereka yang berumur 18, 19, 20 tahun mahu citarasa dan denyut nadi mereka diambil perhatian oleh parti yang memerintah.

“Oleh sebab itu BN khususnya UMNO akan perkirakan perkara ini sebagai salah satu elemen penting untuk meraih kemenangan,” katanya.

Sementara Zahid memberitahu, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan melancarkan jentera pilihan raya secara bersama dengan permulaan dibuat di peringkat negeri Selangor pada 7 Julai ini. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan