27.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Manipulasi isu 3R: ABIM sokong tindakan serta-merta

Mesti Baca

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik tindakan serta-merta yang diambil terhadap mana-mana pemimpin yang cuba memanipulasi isu agama, raja dan kaum (3R).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini kerana kesan terhadap manipulasi 3R sangat besar kerana ia mudah mencetuskan keretakan dalam masyarakat.

Beliau berkata, sudah sampai masa ahli politik serta penggeraknya didisplinkan untuk fokus berkempen atas dasar dan perancangan yang meningkatkan kualiti hidup rakyat kini dan generasi mendatang.

“Dalam konteks sebagai seorang Muslim, Islam tidak boleh sama sekali digunakan untuk menjustifikasikan fitnah, politik kebencian, serta pembunuhan dan perlecehan karakter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kempen-kempen politik yang semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Muhammad Faisal berkata, pihaknya sedih apabila terdapat sesetengah pemimpin politik yang ghairah berkempen tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat apatah lagi menyentuh isu 3R.

“ABIM berpendirian, mana-mana pemimpin politik harus menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat serta bertanggungjawab mempertahan nilai perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Advertisements

Malahan katanya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri pernah menitahkan agar tindakan tegas dan segera wajib diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi 3R.

Jelasnya, titah baginda itu disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Disember lalu.

Hari ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanudi Md Nor dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berkaitan 3R.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Sehubungan itu, beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan