26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Bot nelayan ditahan tunda ikan di zon larangan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBUAH bot nelayan ditahan kerana menjalankan aktiviti menunda ikan (tarik tepi) di zon larangan perikanan kira-kira 1.2 batu dari Pulau Tanjung Dendang pada pukul 10.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

“Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan lima kru, kesemuanya warga tempatan lingkungan umur antara 27 hingga 40 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda.

“Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1.5 tan telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Advertisements

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Romli berkata, kegiatan tarik tepi sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima batu nautika daripada pantai.

“Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen,” tegasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan