Wednesday, July 22, 2026

Dua kapal pindah minyak ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata ketika bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris telah melihat dua kapal merapat antara satu sama lain.

“Pihak penguatkuasa mensyaki suspek melakukan aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan di kedudukan 1 batu nautika tenggara Pulau Perjudi sekitar pukul 3 petang.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak diesel kepada sebuah kapal kargo tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti terbabit,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, daripada siasatan lanjut mendapati kapal kargo sepanjang 31 meter yang berdaftar di Port Dickson itu dikendalikan oleh empat kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga tempatan.

“Manakala kapal tangki pula didaftarkan di Zanzibar, Tanzania dikendalikan oleh lima kru lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia.

“Kedua-dua kapal seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952,”katanya.

Menurut beliau, Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib.

Sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan