Wednesday, July 22, 2026

54 individu ditahan terlibat penipuan dalam talian

Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak empat bulan lalu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan dengan penahanan seramai 54 individu di sebuah premis di kawasan Perusahaan Mergong, Isnin lalu.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama BSJK Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi melakukan serbuan ke atas premis yang dijadikan calling centre pada jam 6 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan 54 individu berusia 20 hingga 50 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua lelaki Bangladesh, 20 warga Taiwan termasuk seorang wanita dan 29 lelaki warga China,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Polis merampas 70 buah telefon bimbit dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak empat bulan lalu dan modus operandi mereka menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan.

“Mereka akan menelefon mangsa dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa seperti polis, pegawai bank dan kastam sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat serta wang mereka akan hilang atau dibekukan.

“Sindiket akan memperdayakan mangsa untuk melakukan pemindahan wang ke akaun yang diberikan mereka bagi mengelakkan wang mangsa dibekukan,”katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 70 buah telefon bimbit, beberapa unit komputer, kertas skrip, kertas mengandungi tulisan Cina iaitu nombor arahan bank negara China, dua buah kenderaan serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fisol berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua saksi tempatan yang merupakan pemilik premis serta pemilik syarikat kenderaan bagi membantu siasatan.

“Masing-masing mereka ialah Ooi Wooi Kean, 34, dan Law Thiam Hee, 47 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Bibi Jan Ali@Ali Haiders di talian 019-5595805 bagi membantu siasatan,”kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan