DIANGGARKAN secara purata sebanyak 15,000 kekosongan bagi jawatan secara tetap yang perlu diisi di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) setiap tahun.
Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, bagi perjawatan secara kontrak pula dianggarkan mencecah 40,000 setiap tahun.
Katanya, jumlah kekosongan jawatan bergantung kepada keperluan jabatan, kementerian dan agensi.
“Angka kekosongan ini sentiasa ada naik dan kurang bergantung kepada jabatan, kementerian dan agensi. Purata anggaran hingga 15,000 kekosongan jawatan tetap sebab setiap tahun ada kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara.
“Dianggarkan kira-kira 25,000 hingga 30,000 kakitangan awam ini akan melalui tempoh persaraan setiap tahun dan kita isi (kekosongan) mengikut keperluan tertentu,” katanya.
Beliau demikian kepada media selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA Johor Bahru di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Johor Bahru hari ini.
Menurut Zainal Rahim, bagi jawatan baharu, kekosongan tempat bergantung kepada portfolio kementerian masing-masing.
“Contohnya ada kementerian yang perlukan jawatan baharu, terdapat isu lantikan seperti doktor kontrak ke jawatan tetap, ini semua bergantung kepada kementerian yang buat perancangan,” katanya. – BERNAMA