“MALAYSIA dah memasuki era Wild West,”kata bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau menyuarakan kebimbangannya mengenai penjualan berleluasa vape tanpa kawalan di negara ini.
Kebimbangannya diutarakan susulan terdapat agensi media asing yang melaporkan mengenai penjualan vape dan laporan berkenaan dipercayai diambil secara ‘under cover’.
Dalam laporan berkenaan turut memberi tanggapan betapa mudahnya produk itu dibeli oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.
Menerusi ciapan di Twitter, Khairy menyuarakan Malaysia kini seolah-olah memasuki era Wild West selepas bahan nikotin itu tidak lagi dikawal oleh undang-undang.
Melihat keadaan itu, Khairy memohon maaf kerana keadaan jadi sampai begini sehingga rakyat terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu.
Khairy berkata demikian mengulas laporan sebuah media asing, Al Jazera dalam program siasatan 101 East yang memaparkan betapa mudah untuk kanak-kanan bawah umur membeli bahan nikotin di negara ini.
“Ya, ada isu penguatkuasaan sebelum ini tetapi kami kerap bertindak terhadap penjualan vape terutama kepada golongan bawah umur dan produk vape tidak dapat diiklankan.
“Kini ia adalah Wild West di Malaysia. Tiada penguatkuasaan kerana tiada undang-undang terhadap vape. Saya minta maaf ia menjadi sehingga ke tahap ini,”katanya.
Dalam laporan penyiasatan 101 East, media antarabangsa itu mengunjungi enam kedai vape di ibu negara.
Pada 30 Mac lalu Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.
Bagaimanapun, Menteri, Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.
Dr Zaliha, ketika mengulas tindakan itu berkata, langkah tersebut mengambil kira maklum balas yang diterima mengenai RUU berkenaan khususnya melalui sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.
Beliau memaklumkan, melalui sesi pada minggu lalu itu ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan, selain ahli parlimen, badan profesional serta badan bukan kerajaan (NGO) mahukan beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan lebih lanjut.
RUU berkenaan dicadangkan bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Untuk rekod, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 telah dibentangkan pada Jun lalu namun kemudiannya dirujuk sekali lagi kepada JKPK Kesihatan. – Edisi 9