SUMBANGAN Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan disalurkan kepada lebih lapan juta penerima mulai 26 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan untuk mempercepatkan bayaran tersebut menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu depan.
“Kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada Julai 2023.
“Ini adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
STR Fasa satu dan dua telah disalurkan pada Januari dan April lalu yang melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi 2023.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran itu membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion di mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Katanya, pembayaran fasa keempat STR dijangka pada November depan.
“Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun. Sebagai langkah memastikan program ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai.
“Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya. – Edisi 9