27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Pengundi di Selangor diramal tidak tertarik undi PN

Pengundi Selangor menolak ekstremisme dan politik ketaksuban dan tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGUNDI di Selangor diramal tidak tertarik untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana tidak mahu mundur di bawah pemerintahan gabungan itu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dengan rekod kemajuan negeri yang diperintah oleh PN seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, beliau melihat pengundi Selangor tidak tertarik untuk mengundi PN.

“Mereka tidak mahu mundur. Jika PN masih mengharapkan kepada gelombang hijau untuk menang, sedarlah gelombang itu telah menyusut teruk.

“Pengundi Selangor menolak ekstremisme dan politik ketaksuban dan tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau di sini.

Beliau berkata, dalam PRN ini, pengundi Selangor sedar negeri mereka adalah kubu terpenting kerajaan perpaduan yang perlu dipertahankan.

“Mereka sedar pemimpin yang mempunyai rekod baik dan cemerlang mentadbir Selangor ialah Amiruddin Shari, MB sekarang, tiada korupsi, seleweng, atau salah guna kuasa yang merugikan negeri,”katanya.

Justeru, kata beliau, bagi pengundi Selangor, perlu bersatu hati dalam PRN ini untuk memperkukuhkan kerajaan perpaduan.

“Inilah kerajaan yang dapat membawa kestabilan dan kemakmuran kepada masa depan negara,”katanya.

Advertisements

Dalam pada itu, menurutnya, keyakinan PN untuk menawan Selangor hanya bersandarkan kepada hujah yang menumpukan isu agama dan kaum, kononnya rakyat tidak berpuas hati kerajaan mengabaikan kepentingan Islam serta Melayu.

“Namun, apa yang diabaikan tidak dinyatakan, melainkan hasutan bahawa kedudukan Melayu dan Islam terancam kerana DAP ada bersama,”katanya.

Selain itu, Mohammad Agus berkata, PN yakin menang kerana gabungan itu dikatakan akan menawarkan calon yang tiada kes mahkamah, profesional dan berpengalaman.

“Siapakah calon itu? Usahkan hendak menamakan calon, poster boynya pun belum berani dinamakan.

“Ini kerana PN sebenarnya tidak mempunyai calon MB atau “poster boy” yang berwibawa,”dakwanya.

Untuk terus mengukuhkan hujah mereka, beliau berkata, PN juga memainkan faktor sokongan Melayu selain mendakwa gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan lebih harmoni berbanding Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Mengenai dakwaan masyarakat Cina sudah beralih sokongan kepada PN kerana tidak berpuas hati dengan DAP, beliau berkata, PN masih tidak memahami budaya politik orang Cina.

“Dengan sikap anti-Cina orang PN, jika pun mereka menolak PH-BN, mereka lebih sanggup tidak keluar mengundi daripada mengundi PN,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan