POLIS menahan seorang lelaki selepas videonya menunggang motosikal secara berbahaya dengan melepaskan tangan dan duduk di atas kotak yang berada di tempat duduk pembonceng di Jalan Lingkaran Tengah 2-Pandah Indah tular di media sosial.
Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, penunggang berusia 45 tahun itu ditahan di Kampung Cheras Baru semalam.
Katanya, turut dirampas adalah sebuah motosikal jenis Yahama Lagenda berwarna hitam dengan suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua saman (waran tangkap) tarfik yang masih belum dijelaskan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkuta Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.Â
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.
Selain itu, katanya, suspen boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun.
Sementara itu, ujar beliau, polis memohon kerjasama pemilik akaun Twitter serta pemilik video yang merakam kejadian untuk hadir di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat trafik IPD Ampang Jaya, Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348 bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak menunggang atau memandu secara merbahaya sehingga mengundang pada kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan berkenaan boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya. – Edisi 9