Thursday, July 23, 2026

JIM tahan 35 PATI di Pasar Borong Selangor

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan ‘Op Sapu’ di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi ini seramai 95 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 35 orang PATI yang berumur diantara 21 hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara India, dua lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Yemen,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata,siasatan awal pihaknya kesemua mereka dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am.

“Semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan.

“Ditambah dengan cuaca hujan pada pagi tersebut dan keadaan gelap menyebabkan ada PATI yang berjaya meloloskan diri.

“Antara yang diperiksa juga adalah 42 lelaki dan 3 perempuan warganegara Myanmar yang memegang kad UNHCR,”katanya.

Kata beliau, tindakan penguatkuasaan ini diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di Pasar Borong tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sehubungan dengan itu, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,”katanya.

Operasi pada jam 4.45 pagi itu disertai dengan kekuatan seramai 96 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti – Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan