HARRY Kane terbuka untuk menyertai Bayern Munich musim panas ini selepas kelab gergasi Jerman itu mengemukakan tawaran mengejut bagi mendapatkan penyerang Tottenham Hotspurs itu.
Kelab Bundesliga yang dikendalikan bekas pengurus Chelsea, Thomas Tuchel itu yakin kapten England itu akan bersetuju menyertai kelab Bavaria itu musim panas ini.
Spurs menyatakan Kane bukan untuk dijual dan mungkin menolak semua tawaran bagi mendapatkan penyerang tersebut.
Bayern telah mengemukakan tawaran sebanyak RM356.6 juta, jauh daripada penilaian Spurs yang mahukan sekurang-kurangnya RM594.3 juta.
Namun, segalanya terletak kepada Bayern sama ada mahu meningkatkan tawaran yang sukar ditolak Spurs yang mahu mengekalkan Kane pada musim pertama di bawah kendalian pengurus baharu, Ange Postecoglou.
Biarpun berminat menyertai Bayern, Kane melihat jika terdapat opsyen kekal di England untuk mengejar rekod jaringan terbanyak yang dipegang lagenda, Alan Shearer.
Bagaimanapun, hanya satu kelab Inggeris yang berminat Manchester United, namun rundingan sukar bersama pengerusi Spurs, Daniel Levy dan harga melebihi pasaran membuatkan Red Devils memikirkan alternatif lain.
Sumber Mail Sport memberitahu, Kane yang belum pernah memenangi sebarang trofi sepanjang kariernya berminat berhijrah ke Allianz Arena yang menawarkan pelbagai trofi.
Bayern bagaimanapun mahu memastikan Kane berminat menyertai kelab itu sebelum mahu mengemukakan tawaran. – Edisi 9