KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meluluskan kuota tambahan sebanyak 1.09 juta liter petrol dan diesel bagi menampung keperluan pengguna ketika sambutan Aidiladha minggu ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kouta tambahan tersebut diagihkan bagi keperluan di lokasi-lokasi tumpuan di seluruh negara yang melibatkan sebanyak 311,000 liter RON95 dan 783,000 liter diesel.
Ini kerana kata beliau, terdapat kemungkinan berlakunya peningkatan penggunaan bahan api susulan peningkatan trafik pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena Aidiladha.
“Penambahan kouta ini menunjukkan keprihatin KPDN terhadap isu bekalan pada musim perayaan agar tidak berlaku gangguan yang sekali gus meresahkan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Korban dan Akikah Rahmah di pasar raya Econsave di Muar, Johor semalam.
Salahuddin berkata, KPDN meluluskan kuota pukal sempadan bagi bulan ini untuk diagihkan kepada tiga syarikat petroleum utama iaitu Petronas (529,000 liter petrol dan diesel), Petron (320,000 liter petrol dan diesel) dan Chevron (245,000 liter petrol dan diesel).
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan memastikan bekalan petrol dan diesel sampai ke lokasi yang ditetapkan sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Pengguna jangan risau, bekalan petrol RON95 dan diesel tahun ini dijangka mencukupi kerana kita sudah membuat persiapan awal dengan meluluskan kuota tambahan,” katanya. – Edisi 9