31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

AIM sasar 40 Sahabat Usahawan terima sijil halal tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan 40 lagi Sahabat Usahawan akan menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk perniagaan yang mereka jalankan pada tahun ini.

Sasaran tersebut diletakkan dengan matlamat sesi bimbingan dijangka selesai dilaksanakan di Wilayah Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, pensijilan halal JAKIM ini menjadi program utama AIM dalam melahirkan usahawan yang lebih mampan, berdaya cipta yang lebih terkehadapan dan berwawasan untuk menembusi pasaran lebih luas.

“Ini selaras dengan nilai Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta yang memberi keutamaan kepada pembaharuan, reka cipta dan reka baharu.

“Menerusi FiestabSahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah kali ini, seramai tiga Sahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah menerima sijil halal JAKIM.

“Mereka adalah, Zarina Bakar, Sahabat Usahawan AIM Cawangan Yan menerima sijil halal untuk produk beliau yang berasaskan pes masakan manakala Che Non Ahmad dari Cawangan Kota Setar pula menerima sijil halal untuk produk beliau iaitu ketupat palas sejuk beku dan penerima ketiga ialah Norli Hamzah dari Cawangan Sungai Petani bagi produk aneka sos,”menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga Sahabat Usahawan berkenaan menerima sijil halal sempena FiestabSahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

Seramai 35 Sahabat Usahawan telah terpilih menyertai program Road To Halal yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Usahawan AIM sejak tahun 2022 dan daripada jumlah itu 12 orang telah menerima sijil halal JAKIM.

Dalam pada itu, KUSKOP berkata, fiesta yang kembali diadakan selepas terhenti akibat COVID-19 ini turut mengiktiraf Sahabat Usahawan Wilayah Kedah apabila sebanyak lima anugerah diberikan.

Advertisements

Bagi Anugerah Sahabat Usahawan Berjaya diberikan kepada Che Non Ahmad dari Cawangan Kota Setar yang menjalankan perniagaan ketupat palas sejuk beku; Anugerah Sahabat Usahawan Istimewa pula diberikan kepada Norli Hamah dari Cawangan Sungai Petani yang menjalankan perniagaan Sos Ikan Bakar; Anugerah Sahabat Usahawan Setia diberikan kepada Zarina Bakar dari Cawangan Yan yang menjalankan perniagaan
restoran.

Sementara itu, untuk Anugerah Sahabat Usahawan Dedikasi diberikan kepada Siti Hajar Maidin dari Cawangan Pokok Sena yang menjalankan perniagaan jahitan telekung dan untuk Sahabat Usahawan Muda pula diberikan kepada Nursyafinaz Mat Zali dari Cawangan Sik yang menjalankan perniagaan Lokcing Bakar.

Fiesta yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu, antara lain bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan Sahabat AIM bersama pemimpin dan kerajaan.

Selain itu, ia bertujuan membina jaringan perniagaan yang lebih luas sekali gus memberi peluang kepada Sahabat menerima input dan pendedahan penting mengenai pelbagai topik ceramah dan pameran korporat yang diadakan.

Antaranya taklimat Jenayah Scammer yang disampaikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspirasi Kecantikan dari Duta Beauty produk keluaran Koperasi Sahabat AIM, Pertandingan Sambal Belacan Meletop dan Hidangan Kerabu Paling Sedap.

Pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai produk jualan Sahabat Usahawan AIM dan FAMA.

Bagi sesi perkongsian ilmu pula, Sahabat Usahawan yang hadir didedahkan dengan Seminar Pemerkasaaan Usahawan Bumiputera (SPUB) dan pameran korporat agensi-agensi di bawah KUSKOP.

Hadir sama ke program ini ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Lembaga AIM,Datuk Seri (Dr) Syed Hussian AlJunid, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz, pengurusan kanan kementerian dan ketua-ketua agensi KUSKOP. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Oppa’ adaptasi kisah guru jadi mangsa ‘Love Scam’

TIDAK dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit. Kejadian...

Lagi Artikel Berkaitan