POLIS berjaya menumpaskan geng pecah rumah yang didalangi warga tempatan dengan mengumpil tingkap dapur dengan menahan tujuh suspek warga tempatan termasuk dua wanita.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan pada 9 dan 10 Jun lalu.
“Pada hari kejadian lebih kurang 3.45 pagi pada 22 Mei lalu di Taman Permata, semasa pengadu berada di rumah telah terbangun dari tidur sebelum mendapati ada orang menyuluh lampu ke dalam bilik di tingkat atas.
“Pengadu terus menjerit sebelum orang (disyaki suspek) tersebut bergegas turun ke tingkat bawah dan melarikan diri melalui pintu hadapan rumah.
“Pemeriksaan mendapati tingkap rumah di dapur terbuka serta grill telah dicabut (diumpil) penjenayah,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, mangsa mendapati barangan rumah iaitu seunit komputer riba, sebuah beg sekolah anak, seunit telefon bimbit jenis Iphone X dan seunit telefon bimbit jenis Iphone SE telah hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM10,000.
Sehubungan dengan itu, katanya, bertindak atas laporan pengadu, pada Jumaat 3 petang sehingga Sabtu 6.20 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas lima lelaki dan dua wanita yang disyaki bertanggungjawab terhadap jenayah pecah rumah yang disiasat polis.
“Kesemua mereka berjaya dicekup dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan polis di sekitar daerah Wangsa Maju, Sentul dan Gombak.
“Siasatan lanjut ke atas mereka aktif melakukan jenayaj tersebut sekitar Lembah Klang dan kesemua suspek yang ditangkap itu adalah berumur lingkungan antara 22 hingga 32 tahun.
“Polis turut membuat rampasan beberapa barang seperti telefon bimbit, laptop, alatan spanar, alatan allen key, sebuah motokar jenis Toyota Alphard masih dilaporkan hilang,”katanya.
Jelasnya, sementara itu dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan LC 135 masih dilaporkan hilang manakala dua buah motorsikal jenis EX5 dan Yamaha 125Z milik suspek, skru driver, kad akses bilik hotel, resit hotel, sepasang uniform operasi polis dan komponen motorsikal turut dirampas untuk membantu siasatan lanjut kes.
Mohamad Farouk berkata, semakan polis juga mendapati tangkapan pertama tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau sementara selebihnya termasuk dua wanita itu mempunyai 11 rekod jenayah kesalahan lampau dan 16 rekod dadah serta satu kes masih dikehendaki polis.
“Enam daripadanya positif methaphetamine, amphethamine dan THC manakala seorang lagi negatif sebarang dadah dalam ujian saringan air kencing.
“Kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ujar beliau, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – Edisi 9

