26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kenaikan OPR dorong rakyat lebih hati-hati berbelanja – PM

Mesti Baca

Fitri Hazam
Fitri Hazam
Wartawan Edisi 9

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mempengaruhi orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan dan akan menggalakkan mereka meningkatkan simpanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wujud salah faham mengatakan kenaikan OPR akan menyebabkan inflasi lebih tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi menjadi terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.

Katanya, OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.

Anwar berkata, jika keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.

“Justeru, impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih buruk dan meluas berbanding kesan daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur pada 2022.

“Peningkatan OPR pada Mei 2023 selepas dihentikan seketika pada Januari dan Mac 2023 bukan bertujuan untuk merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara.

“Sebaliknya ia bertujuan memastikan ekonomi Malaysia kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang meminta menyatakan mekanisme penampan yang dirangka kementerian bagi menangani kesan negatif kenaikan OPR kepada tiga peratus yang akan meningkatkan kadar inflasi.

Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan terutamanya persekitaran global seperti tekanan harga, pertumbuhan ekonomi global, dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Malaysia.

Beliau turut menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM pada 3 Mei lalu telah membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus.

Menurutnya, meskipun kenaikan OPR memberi kesan ke atas ansuran bulanan bagi pinjaman yang berasaskan pinjaman berkadar terapung, perlu ditekankan bahawa langkah kenaikan OPR secara beransur-ansur oleh BNM adalah keputusan yang diambil dengan sangat berhati-hati. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan