24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kalimah Allah: UMNO zahirkan pendirian akar umbi

Mesti Baca

UMNO hari ini secara rasmi menzahirkan pendirian dan pandangan akar umbi parti itu berhubung penggunaan kalimah Allah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar kerajaan berkenaan isu tersebut sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014.

Pada masa yang sama, kata beliau, kerajaan akan memperkemaskan isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Hadir sama dalam pertemuan sebelum Mesyuarat Kabinet itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Advertisements

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berkata, parti itu akan membawa isu berkaitan penggunaan kalimah Allah dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

“UMNO akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari (hari ini),” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ini kerana isu penggunaan kalimah Allah perlu dikendalikan dengan penuh cermat.

Jelas beliau, kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan