SEMPENA ketibaan 1 Syawal yang bakal menjelang beberap hari lagi, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil inisiatif dengan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
SSM berkata, inisatif itu merupakan sumbangan Wakalah Zakat Korporat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berjumlah RM75,000.
Katanya, sumbangan itu disampaikan kepada Rumah Bakti Al-Kausar, Pertubuhan Veteran Awam Malaysia, Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (Skuad 69 PDRM), Surau Nur Muhtadin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya.
“Program ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk meraikan Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sumbangan itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika Majlis Berbuka Puasa SSM 2023 di Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur semalam.
Pada majlis itu, Salahuddin turut meluangkan masa beramah mesra bersama penerima sumbangan serta menikmati juadah berbuka puasa bersama mereka.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDN, Datin Roszanina Wahab; Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz. – Edisi