JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di negeri ini tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak yang menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.
Katanya, perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya.
“Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah MAIS dilakukan oleh individu atau pihak terbabit.
“Ini selaras dengan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM3, 000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh Selangor telah dikeluarkan JAIS melalui surat pekeliling bertarikh 11 November lalu.
Mohd. Shahzihan memberitahu, perbuatan membayar zakat melalui atau kepada individu atau pihak yang tidak ditauliahkan sebagai pemungut zakat adalah suatu perbuatan yang tidak melepaskan kewajipan zakat yang wajib ke atas individu atau pihak yang mengeluarkan zakat tersebut.
Tambahnya, ini jelas dan selaras dengan ketetapan hukum yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 8 Ogos lalu berkaitan Hukum Pihak Yang Tidak Dilantik Atau Diberi Kuasa Yang Sah Membuat Kutipan Zakat Atau Mengagihkannya yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor.
“Kutipan zakat di Selangor adalah sangat penting untuk sentiasa berada pada jumlah yang signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat di Selangor kepada amil yang dilantik secara sah.
“Jumlah penduduk beragama Islam di negeri ini yang melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin yang meningkat memerlukan jumlah dana agihan yang turut menjadi tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Shahzihan memaklumkan, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor sehingga September lalu.
“Ini memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah dan cara yang wajar.
“Jika dana zakat di Selangor dikutip dan diagihkan dengan cara yang melanggari ketetapan yang dibuat bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum malah menyebabkan keritisan dan kekangan dalam menjamin kestabilan pembangunan rohani dan sosioekonomi dan umat Islam di Selangor, ” katanya. – Edisi 9