24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Rakyat Malaysia di Sudan dipindah ke lokasi selamat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

RAKYAT Malaysia yang berada di Kompleks PETRONAS Khartoum, Sudan sudah berjaya dipindahkan ke tempat selamat lewat petang semalam (waktu tempatan Sudan).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu dibuat mengambil kira penilaian risiko semua pihak, susulan laporan berkenaan ‘pengambilan paksa’ Kompleks PETRONAS di Sudan yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk pasukan khas yang bekerja sepanjang masa memantau usaha pemindahan terbabit.

“Malaysia juga menyampaikan bantahan kepada Sudan atas tindakan pihak-pihak tertentu yang sudah menceroboh kompleks berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Zambry lagi, beliau juga sudah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar memanggil Duta Besar Sudan bagi menyuarakan pandangan Malaysia dalam konflik terbaharu.

“Dalam pertemuan berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) menekankan keutamaan untuk kesemua pihak di Sudan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara.

“Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak bertelagah. Malaysia sedang mengambil langkah membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama Sudan menjamin kelancaran usaha ini,” katanya.

Menurutnya, pasukan khas diketuai Kementerian Luar sudah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

Advertisements

“Ia akan dilaksanakan bersama negara-negara sahabat serta merta sebaik ada peluang berbuat demikian. Bagaimanapun, keadaan semasa masih belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak.

“Saya memohon kerjasama semua, andai ada lagi ahli keluarga yang berada di Sudan tetapi masih tidak menyatakan keberadaan mereka atas kekangan jalinan komunikasi untuk segera berbuat demikian.

“Ini penting bagi perancangan evakuasi kelak. Berdasarkan keadaan semasa, jika terdapat ‘window of opportunity’, jangkaan masa diberikan mungkin amat terhad,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Zambry, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memutuskan kesemua mereka akan dibawa keluar dari Sudan jika keselamatan terancam.

Zambry berkata, krisis di Sudan memberi kesan kepada semua pejabat kedutaan asing, apabila terdapat laporan serangan dilakukan ke atas Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Sudan, rakyat Jepun dikasari, kenderaan diplomatik Amerika Syarikat (AS) ditembak dan kediaman rasmi Duta Besar Kuwait ke Sudan diceroboh.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) yang mengarahkan semua masjid membuat solat hajat ke atas kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

“Diharapkan dengan doa rakyat Malaysia, usaha kita membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan akan dipermudahkan-Nya. Saya ingin menekankan, keselamatan kesemua rakyat Malaysia di Sudan adalah keutamaan kerajaan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan