33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pekerja ‘gig’ dan cukai pendapatan: Ini perlu anda tahu!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh K. THENESH

PEKERJA gig didefinisikan sebagai seseorang yang melakukan kerja sementara atau bebas, terutama kontraktor bebas yang digaji secara tidak formal atau atas permintaan.

Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, bahkan ia semakin menarik perhatian dan menjadi tumpuan semasa dan selepas pandemik Covid-19 sehingga sektor ini menjadi pekerjaan kekal.

Pada tahun 2020, kira-kira 4 juta rakyat Malaysia atau kira-kira 26 peratus tenaga kerja terlibat dalam apa yang dikenali sebagai ‘ekonomi gig’.

Pekerja gig adalah pelbagai, daripada makcik penjual nasi lemak atau jiran yang menawarkan tuisyen di rumah sehingga perkhidmatan pembersihan untuk mencari nafkah.

Atau graduan menyediakan khidmat profesional seperti penulisan bebas, reka bentuk grafik dan sokongan teknologi maklumat (IT) sehinggalah kepada pangkalan pelanggan di negara lain.

Dengan skop dan kuasa memperoleh pendapatan yang pelbagai dan luas, muncul persoalan – apakah pekerja gig perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan memfailkan cukai sama seperti pekerja sepenuh masa yang lain atau pun sebaliknya.

Cheerful couple counting with calculator and writing notes
Photo by Ketut Subiyanto on Pexels

Tiga fakta penting setiap pekerja gig harus tahu ialah:

  1. Anda dengan mudah boleh mendapatkan Nombor Pengenalan Cukai secara dalam talian

Proses memohon nombor fail cukai, juga dikenali sebagai Nombor Pengenalan Cukai (TIN) adalah mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian di https://mytax.hasil.gov.my/ hanya dalam beberapa minit.

Ia begitu senang, anda boleh melakukannya dengan menggunakan telefon bimbit anda.

Tidak perlu ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan borang fizikal, tetapi anda pasti dialu-alukan jika memilih untuk hadir sendiri di pejabat LHDN untuk mendaftar secara manual. Pilihan di tangan anda!

  1. Semua pendapatan (sepenuh masa atau tidak) layak dicukai dan mesti diisytiharkan

Bagi kebanyakan orang yang bekerja tetap, majikan memberikan mereka borang EA setiap tahun yang mengandungi maklumat seperti jumlah pendapatan yang diperoleh daripada majikan tersebut serta potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, seperti sewaan daripada mana-mana harta yang anda miliki, serta pendapatan gig yang diperoleh daripada pekerjaan sekali-sekala atau berulang, ini juga mesti diisytiharkan.

Ini termasuk pendapatan sampingan daripada gig penghantaran makanan, pengacara majlis, memandu kenderaan e-hailing, mengendalikan kedai roti di rumah dan lain-lain bentuk kerja yang sering dilihat sebagai tidak formal.

Ringkasnya;
a) anda boleh mempunyai pekerjaan sepenuh masa, yang mana anda sudah membayar cukai, dan juga menjadi pekerja gig dalam masa anda sendiri

b) anda mungkin melakukan kerja gig sebagai satu-satunya sumber pekerjaan atau pendapatan anda

Dalam kedua-dua kes, anda perlu mengisytiharkan semua pendapatan anda tetapi…

  1. … Bukan semua orang perlu membayar cukai!

Ya benar. Dalam kedua-dua senario di atas, anda bertanggungjawab untuk mengisytiharkan semua pendapatan anda tetapi bergantung kepada berapa yang anda peroleh, anda mungkin tidak perlu membayar apa-apa cukai pun.
Ini kerana bagi yang memperoleh purata kurang daripada RM3,400 sebulan tidak perlu membayar cukai, walaupun masih diwajibkan memfailkan borang cukai bagi memenuhi keperluan pematuhan.

Bagi pekerja gig yang perlu memfailkan cukai buat pertama kali, berikut adalah beberapa petua untuk anda melancarkan proses tersebut:

a. Ketahui berapa pendapatan anda yang layak dicukai. Sediakan kertas atau perisian lain yang jelas mengenal pasti berapa hasil pendapatan anda dan berapa hasil untuk diisytiharkan, akan cukup membantu.

b. Penyimpanan rekod perbelanjaan perniagaan (berbanding perbelanjaan peribadi/domestik) adalah sangat penting. Jangan lupa untuk sentiasa menjejak perbelanjaan anda sebagai sebahagian daripada kerja gig anda!

c. Elaun modal adalah serupa dengan perbelanjaan boleh ditolak cukai ke atas aset yang layak dalam pengeluaran pendapatan anda.

Item tertentu yang dibeli untuk tujuan menyediakan perkhidmatan anda, sama ada ketuhar baharu untuk perniagaan memasak di rumah kepada motosikal untuk tujuan membuat penghantaran, mungkin boleh digunakan untuk tuntutan susut nilai cukai/elaun modal (yang bermakna anda akhirnya membayar cukai yang kurang, jika anda dikehendaki membayar apa-apapun).

d. Jangan lupa potongan pelepasan cukai peribadi. Ini diberikan kepada setiap pembayar cukai di Malaysia untuk perbelanjaan peribadi. Jadi untuk perbelanjaan ini, tidak perlu ditanggung berkaitan dengan pendapatan gig anda.

Setiap tahun, terdapat senarai lengkap pelbagai pengecualian daripada tanggungan dan kos perubatan kepada pendidikan dan gaya hidup jadi pastikan anda mencarinya di laman web LHDN.

Menyusun resit yang diperlukan untuk ini akan membantu mengurangkan beban cukai anda juga.

Saya mengesyorkan bantuan profesional daripada ejen cukai yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan atau boleh melawat cawangan LHDN terdekat, dilengkapi dengan semua resit dan rekod lain pendapatan dan perbelanjaan berkaitan perniagaan supaya mereka boleh membantu dengan sewajarnya.

Banyak kes disebabkan kegagalan mengisytiharkan cukai mereka berdepan denda yang tinggi sekiranya audit dibuat kerana mereka dikehendaki membayar semua cukai terbelakang sebagai tambahan kepada penalti.

Banyak rekod cukai yang lemah boleh membawa kepada kesukaran kewangan pada masa hadapan seperti memohon pinjaman bank.

Kesimpulannya, sebagai pekerja gig, anda perlu mengisytiharkan pendapatan tidak kira berapa banyak (atau sedikit) yang anda peroleh.

Tarikh akhir untuk pemfailan manual adalah pada 30 April dan e-filing 15 Mei tetapi jika pendapatan gig anda layak sebagai ‘pendapatan perniagaan’, anda mempunyai masa sehingga 30 Jun (pemfailan manual) atau 15 Julai (e-filing).
Jadi, jangan lupa untuk memfailkan cukai anda ya!


  • Penulis adalah anggota panel ACCA ExpertLink mengenai percukaian.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan