25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Aidilfitri: Bekalan telur ayam di Pantai Timur mencukupi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEBANYAKAN pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan perayaan Aidilfitri esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan produk itu di Pantai Timur menjelang Aidilfitri.

“KPDN juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 premis pengedar peruncit terpilih di seluruh Kelantan.

“Berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 April 2023, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran,”menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, secara keseluruhan, pihaknya mendapati bekalan telur ayam di Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini.

“Pada masa sama, melalui pemeriksaan di peringkat runcit dan borong juga, kedudukan bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil.

Advertisements

“Di Terengganu pula, bekalan telur ayam masih boleh diperoleh di pasar raya utama serta kedai runcit di pekan kecil dan hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap produk itu semakin menurun kerana bazar Ramadan sudah berakhir selain tiada lagi permintaan yang tinggi daripada industri pembuatan kuih, kek dan biskut raya.

“Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna,”katanya.

Salahuddin berkata, orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihat agar tidak panik dan berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan pada musim perayaan bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan produk itu di pasaran.

Katanya, KPDN akan mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara termasuk pada musim perayaan ini bagi memastikan pengguna dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa.

“Berhubung dengan isu-isu yang dijangka berlaku di masa hadapan, KPDN akan terus mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri untuk memastikan bekalan cukup di pasaran,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan