26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Lori balak heret van sekolah: 3 murid parah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA individu terdiri daripada murid dan pelajar sekolah cedera parah selepas  van sekolah yang dinaiki mereka terbalik selepas diseret sebuah lori balak sejauh 19 meter di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, 12 lagi pelajar cedera dalam kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, siasatan mendapati, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian sebuah kereta jenis Kia Spectra yang keluar simpang untuk membelok ke kanan.

“Kejadian itu menyebabkan kereta terbabit dilanggar oleh sebuah lori muatan balak sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori balak itu kemudiannya merempuh tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi, Honda Civic dan sebuah van Nissan Urvan yang dinaiki 15 pelajar dan murid berusia dalam lingkungan 7 sehingga 17 tahun itu sebelum diseret sejauh 19 meter dan terbalik.

“Siasatan mendapati, van tersebut sedang dalam perjalanan mengambil murid dan pelajar yang baru habis waktu persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2 di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Advertisements

Ujar Choon Foo lagi, tiga orang daripada penumpang van berkenaan mengalami kecederaan parah iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun patah tulang selangka dan seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun mengalami darah beku pada dahi.

Menurutnya, selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pula terkehel tulang paha kanan manakala mangsa yang lain hanya cedera ringan.

“Lelaki warga emas berusia 67 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Kia Spectra cedera pada bahagian mulut dan kepala.

“Semua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan siasatan lanjut masih dijalankan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan