30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Agong, Raja Permaisuri hadiri Sambutan Nuzul Quran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran dan berbuka puasa bersama kepimpinan kerajaan negeri di Masjid Negeri Pulau Pinang, semalam.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan isteri Datin Mohaini Mohd Safar.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor disusuli ucapan sembah menjunjung kasih oleh Ahmad Zakiyuddin.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mendengar Tazkirah Nuzul Al-Quran bertajuk ‘Al-Quran, Rahmat Untuk Umat’ oleh Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Dato’ Rosli Othman,” menurut kenyataan itu.

Advertisements

Turut berangkat menyerikan majlis ialah anaknda Seri Paduka berdua, iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Istana Negara berkata, pada majlis tersebut juga, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 50 asnaf.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah dengan tetamu yang hadir.

“Seri Paduka Baginda berdua berada di Pulau Pinang dalam lawatan tiga hari yang akan berakhir hari ini,”ujar kenyataan itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan