24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Rafizi harap Tok Pa terus berkhidmat di kementerian

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berharap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dapat terus menyambung khidmat di kementerian itu walaupun sudah bersara.

Menurut Rafizi, ini kerana bekas Ahli Parlimen Jeli itu mempunyai pandangan yang seiring dengan beliau dalam soal berkaitan ekonomi rakyat termasuk pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kelestarian ekonomi menepati sasaran pembangunan lestari (SDG).

“Latar belakang kami lebih kurang sama (yang ada latihan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan).

“Minat kami pun banyak persamaan, seperti usaha membasmi kemiskinan dan membantu orang susah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mengulas kunjungan Mustapa atau mesra disapa sebagai Tok Pa ke pejabatnya di Putrajaya, pada Isnin.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR turut memuji Mustapa yang menyerahkan amanah kepada beliau dengan lancar dan berharap dapat meneruskan kesinambungan tersebut kepada penggantinya kelak.

“Satu hari nanti, tiba masa saya untuk menyerahkan amanah ini kepada pengurus besar (menteri) selepas saya dan saya juga berharap ada kesinambungan yang baik, seperti antara saya dan Tok Pa,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Rafizi berkata, tugas seorang menteri tidak ubah seperti tugas seorang pengurus besar.

Ini kerana, katanya, sudah ada perancangan yang dibuat bagi organisasi yang diterajui dan keberkesanan seorang pengurus besar ialah kebolehannya membaiki perancangan itu dan melaksanakannya dengan lebih baik supaya matlamat dicapai.

“Bila sudah sampai masa untuk kita beralih ke tugas yang baharu, sebaiknya kita tinggalkan organisasi itu dalam keadaan yang lebih baik dan manfaatnya dirasakan oleh ramai orang.

“Yang baik yang ditinggalkan oleh pengurus besar sebelum kita, wajar dikekalkan. Kalau ada ruang untuk diperbaiki pelaksanaan, kita tumpu kepada perkara itu.

“Itu pandangan saya apabila saya mengambil alih tugas sebagai Menteri Ekonomi yang sebelum ini sebahagian besarnya dilaksanakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan