26.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 28, 2023

Tangani segera isu malpemakanan 5.6 juta kanak-kanak – TPM

Mesti Baca

Masalah malpemakanan dialami kira-kira 5.6 juta kanak-kanak melibatkan murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah bakal ditangani segera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam masa terdekat supaya penyelarasan bagi inisiatif menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan.

Ini kerana kata beliau, hal tersebut memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi.

“Ini soal pembentukan fizikal generasi baharu, terdapat ketidakseimbangan pemakanan yang diambil bagi membentuk kejuruteraan insan kepada generasi akan datang.

“Kita telah membincangkan bahawa peruntukan malpemakanan kira-kira RM800 juta, dalam soal ini kita juga harus mengambil kira pemakanan di taska atau tadika kerana pembentukan fizikal bermula daripada pemakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara.

Baca juga:   Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahmad Zahid berkata, antara pendekatan menangani kesan isu itu adalah penyelarasan keseimbangan pengambilan makanan mengikut nasihat bahagian pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) dan inisiatif ini dikoordinasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata, isu malpemakanan perlu ditangani supaya generasi akan datang tidak mengalami kesan isu malpemakanan seperti bantut dan obesiti. 

Turut dibincangkan di mesyuarat itu, isu pendaftaran taska dan pusat jagaan dan cadangan menangani isu gelandangan.

Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan telah diambil bagi menyelaras isu pendaftaran, kurikulum dan silibus serta piawaian premis taska dan pusat jagaan.

Baca juga:   Pelakon komedi Jamali Shadat meninggal dunia

“Ini mesti dilakukan dengan piawaian tertentu agar kumpulan sasaran khususnya kanak-kanak prasekolah ini dapat diberikan perhatian terus, bagi membentuk generasi masa depan dari segi minda, nutrisi dan pemikiran mereka dalam pembentukan negara bangsa,” katanya.

Sebanyak 1,081 taska daripada 4,142 tidak berdaftar manakala 573 pusat jagaan tidak berdaftar daripada 2,961 pada 2022. – BERNAMA

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan