24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kuarters guru: Jadikan kediaman mereka ‘tidak berumah’

Mesti Baca

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan setakat ini terdapat 47,947 kuarters guru milik kementerian di seluruh negara namun hanya 29,207 unit sahaja yang diduduki.

Manakala bakinya sebanyak 18,470 unit atau hampir separuh daripada jumlah kuarters tidak diduduki.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Young Syefura Othman (PH-Bentong) di Dewan Rakyat hari ini.

Jumlah lebih 18,000 unit kuarters guru yang tidak diduduki atau terbiar kosong bukannya sedikit apatah lagi ketika di luar sama ratusan ribu keluarga yang mendambakan kediaman sendiri untuk didiami.

Bayangkan berapa banyak pembaziran sekiranya kuarters-kuarters guru ini tidak dimanfaatkan atau dibiar kosong yang akhirnya buruk, lusuh, rosak atau mungkin sahaja rebah menyembah bumi.

Sebenarnya isu kuarters guru terbiar kosong ini bukanlah isu baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.

Pada 2019, Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik telah menyatakan akan mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan itu tersebut.

Antaranya ialah dengan membaik pulih sejumlah kuarters, menyewakan kuarters tersebut kepada pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri serta mengubah suai fungsi kuarters terbabit.

Menteri Pendidikan berikutnya, Dr Radzi Jidin pada tahun lalu pula turut menyatakan kajian sedang diteliti untuk menyelesaikan isu tersebut kerana setiap kuarters mempunyai masalah yang berbeza.

Manakala Fadhlina pula berkata, KPM telah melantik perunding hartanah untuk membuat kajian bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni yang dijangka selesai bulan depan.

Dalam hal ini, KPM perlu mengambil perhatian soal kuarters guru ini khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar daripada terbiar kosong, mungkin sahaja boleh diserahkan kepada mereka yang tidak berumah.

KPM boleh menyerahkan kuarters-kuarters guru ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang boleh dijual atau sewa beli kepada keluarga yang memerlukan, terutama golongan B40 yang tidak berumah.

Jika langkah ini diambil sudah tentu ia akan mengembirakan ribuan keluarga yang memerlukan.

Advertisements

Namun, dalam hal ini sudah tentu beberapa isu perlu diperkirakan antaranya jika kuarters guru ini berada di dalam kawasan sekolah, soal keselamatan, privasi dan hal-hal lain perlu diambil kira.

Bagaimanapun, ia bukanlah ‘jalan mati’ sebaliknya boleh dipisahkan kawasan sekolah dan kuarters guru dengan pagar yang sesuai.

KPM juga boleh menyerahkan pengurusan kuarters guru kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sama ada dijadikan rumah sewa atau inap desa.

Dari situ PIBG sekolah berkenaan boleh menjana pendapatan sekali gus dapat membantu kewangan persatuan, yang akhirnya dapat dijadikan dana bantuan untuk pembangunan sekolah atau sahsiah murid.

Dalam hal ini, pihak PIBG perlulah kreatif untuk mencari dana bagi membaik pulih atau menyelenggaran kuarters-kuarters guru terbabit.

Pendekatan ini mungkin kelihatan radikal atau agak mustahil untuk menyerahkan aset kerajaan kepada pihak luar (PIBG) namun daripada ia terbiar kosong atau akhirnya rosak dan runtuh, apa salahnya kerajaan atas nama MADANI berfikir di luar daripada kotak.

Lagipun sudah tentu pihak PIBG bersedia untuk mengambil alih kuarters-kuarters guru terbiar ini.

Baru-baru ini Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021 menyebut, berlaku kelemahan dalam kutipan sewa kuarters kerajaan di Putrajaya sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.66 juta.

Kerugian itu merangkumi sewa kuarters RM1.16 juta yang tidak dikutip terhadap penghuni yang menduduki kuarters bagi tempoh antara 12 hingga 179 bulan, iaitu seawal tahun 2007.

Semakan audit juga mendapati kutipan sewa kuarters tidak diselaraskan dengan gred jawatan penghuni dan lokasi pejabat penghuni menyebabkan ketirisan hasil berjumlah RM0.5 juta.

Jika ditambah dengan jumlah kuarters guru lebih 18,000 unit yang dibiarkan kosong, sudah tentu kerugian yang ditangguung kerajaan berganda-ganda.

Justeru, KPM perlu menyelesaikan isu kuarters guru berkenaan. Siapa tahu dengan langkah-langkah yang dicadangkan itu dapat menyelesaikan isu kuarters guru kosong yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian setiap tahun. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan