IKON bola sepak Liga Perdana Inggeris, Alex Ferguson dan Arsene Wenger disenaraikan ke Hall of Fame buat kali pertama di kalangan pengurus sejak tahun 2021.
Perseteruan di antara dua pengurus legenda itu untuk tempoh lama menjadi ingatan di kalangan peminat bola sepak EPL ketika masing-masing membimbing Manchester United dan Arsenal merebut kejuaraan liga itu.
Ferguson membimbing United merangkul 13 kejuaraan EPL dengan mendominasi sepanjang era EPL yang bermula tahun 1992 sehinggalah persaraannya pada 2013.
Untuk rekod, Ferguson meraih 528 kemenangan daripada 810 perlawanan, dengan 1,752 mata terkumpul bersama United.
Pengurus lagenda berusia 81 tahun itu juga dinamakan Pengurus Terbaik Tahunan EPL sebanyak 11 kali dan mengumpul Anugerah Pengurus Bulanan EPL sebanyak 27 kali.
Wenger pula mengemudi Arsenal memenangi tiga gelaran EPL dalam tempoh perkhidmatan paling panjang dalam sejarah kejohanan itu dari 1996 hingga 2018.
Pencapaian menakjubkan pengurus dari Perancis itu sudah semestinya membawa The Gunners menjuarai liga tahun 2004 tanpa mencatatkan sebarang kekalahan sepanjang musim yang diingati peminat sebagai The Invicibles.
Wenger juga mencatat rekod 828 perlawanan Liga Perdana, termasuk 476 kemenangan dan 199 seri sekaligus menjadi pengurus paling lama berkhidmat selama 22 tahun dari 1996 hingga 2018.
Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters berkata, kedua-dua Ferguson dan Wenger telah memberikan sumbangan yang luar biasa kepada sejarah bola sepak di EPL.
”Kedua-dua mereka membawa tahap kejayaan yang tidak dapat ditandingi kepada Manchester United dan Arsenal, meningkatkan taraf dan peminat dengan saingan mendebarkan selain menghasilkan 16 kejuaran yang menakjubkan antara mereka,” katanya memetik laporan media Britian. – Edisi 9

