HANYA daerah di Batu Pahat dan Segamat masih terjejas akibat banjir, bagaimanapun keseluruhan situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan baik.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir di Batu Pahat kini seramai 17,123 orang (4,906 keluarga) di 69 PPS, manakala Segamat kekal dengan kepada dua orang mangsa banjir (satu keluarga) di satu PPS.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi tadi tinggal 17,125 orang (4,907 keluarga) berbanding 19,041 mangsa (5,424 keluarga) pada jam 8 malam semalam.
“Semua mangsa itu kini ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi,”katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan, terdapat lima jalan di Batu Pahat yang masih ditutup akibat banjir, namun dibuka untuk kenderaan berat saja.
Jalan yang masih terjejas akibat banjir adalah Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal. – Edisi 9