YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis yang ke-216 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis.
Kenyataan rasmi Istana Negara menerusi Facebook berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan dalam memikul amanah serta tanggungjawab memelihara keamanan rakyat dan negara.
“Seri Paduka Baginda turut menyanjung tinggi dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pesara PDRM atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah, masa dan situasi.
“Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, kenyataan itu berkata, Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT daripada segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat mengamalkan kehidupan yang harmoni, mematuhi undang-undang, bekerjasama dan menjalinkan hubungan erat dengan pasukan polis dalam membanteras sebarang salah laku jenayah dalam komuniti masing-masing,”ujar Istana Negara. – Edisi 9